5.12.2008

Angin Baru?

Ketua JKKK Zon Mutiara Baru
Tsunami politik yang baru sahaja menggegarkan negara kita dengan keputusan mengejut Pemilihan Jawatankuasa Kampung ke-12 Mac lalu belum lagi reda, kita disergah pula dengan khabar aneh dari utara. Seorang tokoh politik yang baru sahaja diamanatkan Ketua JKKK Zon Mutiara, belum sempat orang lama mengemas keluar kabinet failnya, insan tersebut telahpun menukar langsir tanpa berbincang dengan Tok Penghulu.

Dengan yakinnya beliau menolak bulat-bulat Dasar Ekonomi Baru yang diperturunkan oleh nenek moyang kita. Secara lantangnya beliau mempertikaikan ketelusan dan keberkesanan pelan tersebut, dan mengusulkan agenda beliau tersendiri. Kononnya ingin bersifat adil kepada semua penduduk dengan memperkenalkan open tender, dimana ianya lebih membuka peluang kepada semua kaum merebut tawaran projek-projek pembangunan di kampung kita. Belum sehari melabuhkan punggung di kerusi baru, sudah berani mengkhianati kepercayaan para pengikutnya di utara sana.

Walaupun secara zahirnya sistem tender terbuka ini nampak adil dan saksama, namun sedarkah kita tentang implikasi jangka panjang kepada penduduk di sini, khususnya saudara-mara kita nun di hujung kampung sana. Seperti bidasan bekas Ketua JKKK Zon Mutiara, impak utama tindakan tokoh itu akan mengundang kepincanganan ikatan muhibbah yang telah susah payah dibina tok nenek kita dahulu.

Kenapa pula perlu dipertikaikan apabila kaum kerabat kita sahaja yang mendapat tender selama ini, walhal segala keuntungan dari transaksi tersebut dapat dinikmati semua pihak, secara langsung mahupun tidak. Apabila Megat tempoh hari mendapat amanat membina jambatan di hilir kampung bagi menggantikan jambatan kayu yang kian usang itu, bukankah dia membeli segala simen dan paku daripada kedai Ah Seng? Bukankah segala tugas mengukur kayu dan memasak tiang diserahkan kepada Gopal tiga beradik? Siapa pula selalunya membekalkan cat-cat kepada Megat kalau bukan Ah Meng sepupu Ah Seng juga? Jika dikira secara menyeluruh, Megat dan mereka-mereka yang seangkatan dengan beliau selalaunya meraih hanya dalam 10% sahaja daripada untung bersih, dimana bakinya diperolehi oleh rakan-rakan seperti Ah Seng dan Gopal.

Tetapi kami juga terpanggil untuk mengulas topik ini apabila tokoh politik tersebut mengungkit kononnya hanya kroni-kroni Tok Penghulu dan JKKKnya sahaja yang dapat peluang tender-tender besar. Tidak dinafikan fenomena ini menjadi duri dalam daging untuk sistem DPN kita ini. Dalam realiti dunia globalisasi yang melanda kawasan kampung kita ini, jika dilihat pada skalanya sahaja kita sudah tahu bahawa orang-orang seperti Megat sudah tentu tidak mendapat sebarang peluang untuk bersaing dengan tender yang akan ditawarkan secara sama rata itu. Ah Meng dan Ah Seng tidak perlu bersusah payah mengira kos simen, paku dan cat, dan akhirnya mereka menawarkan pakej yang jauh lebih murah daripada Megat ataupun Gopal. Jika diandaikan perniagaan sebagai pelawanan bola sepak, sudah tentu pasukan kampung kita secara terang-terang akan kalah besar ketika berlawan dengan pasukan Kampung Argentina dari seberang, walhal wisel masih belum ditiupkan lagi.

Maka jika bukan pengkhianatan yang berlaku disini, apakah pula namanya?

Wallahu'alam.

5.04.2008

Tidak Relevankah Wawasan Kita?

Wawasan 2020 yang diperkenalkan oleh Tun M bekas Penghulu kita satu masa dahulu jelas sekali adalah kesinambungan dari pelan DPN. Baru tahun 2008, sudah ada yang tidak mahu lagi DPN untuk menolong kita bersaing dengan kampung kampung seberang.





Wallahua'lam.

5.01.2008

Ada Apa Dengan DEB?

Salam perpaduan untuk semua penduduk Malaysia.

Sejak kebelakangan ini, kita sering mendengar tentang isu-isu Dasar Ekonomi Baru (DEB) atau kini dikenali sebagai Dasar Pembangunan Negara (DPN). Apa itu sebenarnya DPN? Kenapa setelah sekian lama ia dilaksanakan, baru kini kecoh disebut-sebut di Balai raya, di kedai-kedai kopi malah menjadi sosek sosek Mak Timah?

Jika dirujuk Wikipedia.org, DEB merupakan satu program sosioekonomi yang diwujudkan secara khususnya untuk mengurangkan dan akhirnya membasmi kemiskinan penduduk Malaysia tanpa mengira kaum, dan juga menyusun atur semula taburan ekonomi agar kampung kita lebih pesat membangun. Pelan ini lebih memfokuskan kepada pembangunan golongan Bumiputera yang merupakan penduduk majoriti kampung ini.

Jika setelah sekian lama diperkenalkan, mengapa sehingga kini ianya masih belum lagi mencapai sasaran yang ditetapkan? Jika begitu suci sekali wawasan pelan ini, mengapa terdapat juga pihak yang tidak menyokong sepenuhnya, malah mempertikaikan kredibilitinya? Sekali lagi ingin kami bertanya, mengapa timbulnya persoalan-persoalan sedemikian?

Wallahua'lam.